Followers

09 June 2011

Makin Aku Cinta (05)

Langit begitu gelap
Hujan tak juga reda
Ku harus menyaksikan
Cintaku terenggut tak teselamatkan
Ingin ku ulang hari
Ingin ku perbaiki
Kau sangat ku butuhkan
Beraninya kau pergi dan tak kembali


“Abang, Jihah sayang sangat kat abang. Kalau sesuatu terjadi pada Jihah, abang kena janji yang abang akan jaga diri baik-baik.” Najihah berkata perlahan sambil mengusap tangan Emran yang memeluk erat tubuhnya. Emran tersentak dengan kata-kata yang keluar dari bibir Najiha lantas dia memalingkan tubuh isterinya itu.

“Apa yang Jihah merepek ni? Abang tak suka Jihah cakap macam ni lagi. Dah banyak kali abang pesan kan. Jihah memang suka kalau abang marah-marah ker?” Emran memandang serius ke wajah Najihah. Dia tak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada dirinya sekiranya Najihah benar-benar pergi meninggalkan dirinya sendiri.

Najihah memegang kedua belah pipi suami yang baru 2 bulan dinikahi itu. Dia amat menyayangi lelaki itu. Cinta pertama dan harapannya agar menjadi cinta terakhirnya juga. Dia sendiri tidak tahu kenapa kebelakangan ni mulutnya ringan sahaja menuturkan ayat-ayat seperti itu. Kadangkala hatinya sayu sendiri bila mengenangkan suaminya. Najihah memandang ke wajah Emran seolah-olah dia takkan melihat Emran lagi selepas ini. Diusap dahi suaminya membawa ke kening, mata, pipi dan berakhir di bibir. Sesudah mengusap wajah suaminya, dia meletakkan tapak tangannya di dada.

Why Jihah?” Emran bertanya kerana dia sedikit pelik melihat perlakuan isterinya itu.

Nothing. Jihah cuma nak simpan wajah abang dalam hati Jihah ni.” Jihah menjawab diiringi tawa sehingga menampakkan sepasang lesung pipit.

Emran mengajak Najihah pulang kerana hari semakin gelap. Walaupun Najihah masih ingin mengambil angin pantai, dia tetap mengikut saja langkah suaminya. Najihah memang sukakan pantai dari dulu lagi. Baginya berada di pantai memberikan ketenangan yang takkan didapati di bandar.

Motorsikal Kawasaki ZX-6R yang di tunggangi mereka meredah lebuhraya Port Dickson-Seremban. Sekali sekala Emran akan mengusap lembut tangan Najihah yang memeluk pinggangnya. Dia bukan lelaki yang romantik. Baginya, cukuplah sentuhan dan sikap ambil berat itu menafsirkan rasa sayang yang tak berbelah bagi kepada Najihah.

Hujan gerimis yang turun membuatkan Emran melajukan sedikit motornya. Dia ingin cepat sampai dan tak mahu isterinya kebasahan. Dengan keadaan jalanraya yang lengang, dia tidak sedar yang kelajuan motornya sudah melebihi dari kelajuan biasa. Sampai di satu selekoh, sebuah kereta yang dipandu laju sedikit menghimpit motorsikal milik Emran dan akibatnya motorsikal yang mereka tunggangi hilang kawalan dan terbabas. Emran dapat mendengar jeritan Najihah di telinganya tapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia sendiri terseret jauh bersama motorsikalnya.

Emran membuka matanya apabila dia mendengar bunyi siren ambulan dan suara orang menjerit yang bertingkah-tingkah. Rasa perit di kakinya dibiarkan sahaja. Dia cuma mahu mencari isterinya. Seorang lelaki yang berpakaian seragam polis menghalang dia dari bangun tapi dia tetap berdegil.

Dia masih memandang sekeliling tempat kemalangan. Dalam kepayahan dia bergerak ke arah sekumpulan orang ramai di laluan bertentangan. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk ke sana. Semakin mendekati tempat itu, jantungnya berdebar dengan sangat hebat. Sebaik dia tiba, beberapa orang di situ memberi laluan dan ada yang memapah dia untuk mendekati sekujur tubuh yang kaku.

“Ya Allah, Najihah!!!!!” Emran terus rebah dan dunianya terus gelap gelita tanpa cahaya, tanpa suara.

#####################################################################

Emran tersentak dari lamunan apabila dia terdengar azan maghrib berkumandang. Airmata yang bertakung di tubir mata di kesat perlahan. Ingatannya terhadap Najihah masih kuat dan dia masih merasa bersalah di atas pemergian Najihah walaupun dia tahu apa yang terjadi adalah ketentuan dari ALLAH.

Dia melangkah pergi meninggalkan pantai untuk kembali ke chalet penginapannya. Perasaan dan emosi bercelaru saat ini. Ada rasa yang bercambah untuk seseorang, tapi dia takut untuk mencuba. Dia rasa seperti mengkhianati perasaan cinta kepada Najihah yang selama ini disimpan kemas dalam hatinya.

“Suria!” Perlahan nama itu keluar dari bibirnya. Entah kenapa, tiba-tiba dia menyebut nama gadis itu.

Dia mempercepatkan langkah untuk segera sampai ke chaletnya. Sewaktu tiba di hadapan chalet yang disewa Erlina, matanya menangkap kilauan seutas gelang tangan di celah-celah pokok bunga.

“Mungkin gelang Lin tercicir. Nak kena marah makcik ni. Cuai sangat.” Emran berbisik di dalam hati.

Memikirkan yang waktu maghrib hampir berlalu, Emran mematikan niat untuk mengetuk pintu chalet Erlina sebaliknya dia teruskan langkah menuju biliknya sendiri.

No comments:

Post a Comment