Followers

31 May 2011

Tiada Yang Lain... (08)

Rhea masih belum mampu berkata-kata walau untuk sepatah. Dia masih lagi terkejut dan otaknya masih cuba untuk mencerna tentang kejadian yang berlaku sebentar tadi. Tangannya masih menggigil dan wajahnya masih lagi pucat. Untuk berjalan pun serasanya dia masih tidak mampu. Sewaktu tiba di apartment tadi, Zarif terpaksa memapah dia untuk keluar dari kereta dan mendukung dia sehingga sampai di rumah. Nasib baik dia bertubuh kecil, jikalau tidak, pasti satu masalah untuk Zarif kerana dia memang tak mampu untuk berdiri langsung.

Rhea masih lagi mencengkam erat tangan Zarif kerana dia takut sekiranya Zarif meninggalkan dia seorang diri. Saat Zarif bangun, dia dapat merasakan tangan Rhea mencengkam dengan lebih kuat.

“Cik Rhea tunggu sekejap. Saya ambilkan air.” Perlahan-lahan Rhea melepaskan cengkaman tangannya.

Tidak lama kemudian Zarif tiba dengan segelas air suam dan dia menyuakan gelas tersebut kepada Rhea. Setelah meminum hampir setengah gelas, emosi Rhea kelihatan sedikit terkawal.

“Zarif, apa sebenarnya yang berlaku ni? Siapa mereka semua tu? Kenapa mereka ikut kita?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Rhea.

“Maaf Cik Rhea. Saya tak tahu siapa mereka tapi saya rasa kerana mereka lah Cik Rhea perlukan perkhidmatan saya. Mungkin Kak Sheila atau Encik Zakuan boleh jelaskan. Cik Rhea jangan bimbang, sekarang Cik Rhea selamat. Saya tunggu di luar.” Zarif melangkah untuk keluar dari unit apartment Rhea. Dia berasa tidak enak untuk dia tinggal berdua-duaan dengan gadis itu. Dia lebih rela mengawal keselamatan Rhea dari luar rumah.

“Zarif, jangan pergi. Saya takut.” Tangisan gadis itu kedengaran sayu. Tangan Rhea mencengkam erat lengan Zarif saat dia mendengar lelaki itu ingin meninggalkan dia seorang diri di dalam rumah.

Zarif akhirnya mengalah dan duduk di sebelah Rhea. Perlahan-lahan gadis itu merebahkan kepala di ribaannya. Zarif sedikit terkejut dengan perlakuan Rhea tapi dia tidak sampai hati untuk menolak kerana dia dapat merasakan yang airmata gadis itu membasahi ribanya. Dalam sendu yang masihg bersisa, Rhea terlena.

*************************************************************************************

Kak Sheila dan Tuan Zakuan tiba kira-kira 45 minit selepas mendapat panggilan dari Zarif.Nasib baik Zarif telah memindahkan Rhea ke dalam bilik. Dia tidak mahu Kak Sheila atau Tuan Zakuan mencurigai dirinya. Tuan Zakuan meminta dia menceritakan semula apa yang telah terjadi. Kak Sheila pula sibuk membuat beberapa panggilan untuk menjejaki kenderaan pacuan empat roda yang mengejar dia dan Rhea. Keadaan agak tertekan sedikit kerana baik Tuan Zakuan mahupun Kak Sheila tidak menyangka yang secepat ini Rhea akan diekori.

“Tuan Zakuan, kenderaan yang mengekori mereka tu ditinggalkan di tempat kejadian tembak menembak. Ia menggunakan nombor pendaftaran palsu. Orang-orang kita yang lain akan cuba mencari dalangnya.” Kak Sheila melaporkan hasil siasatannya.

Tuan Zakuan seakan memikirkan tentang sesuatu. Dia tahu yang lambat laun mereka itu pasti akan mendapatkan Rhea walau dengan apa cara sekalipun. Dia mengeluh perlahan.

“Sheila, pastikan orang-orang kita cari siapa dalang di sebalik semua ini. Saya tak mahu nyawa Rhea terancam. Dan awak Zarif, mulai dari hari ini, awak kena lebih berhati-hati bila bawa Rhea keluar dari rumah. Kalau tiada apa yang penting, tak perlu keluar dari kawasan apartment ni. “ Tuan Zakuan memberi arahan dengan tegas.
Dia tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku ke atas Rhea apatah lagi gadis itu telah dianggap seperti anaknya sendiri.

Zarif hanya menganggukkan kepala tanda dia memahami arahan dari Tuan Zakuan itu. Kali pertama bertentang mata dengan Tuan Zakuan, dia sedikit kagum melihat lelaki itu. Selama ini dia hanya mendengar Kak Sheila menyebut nama lelaki itu sahaja. Dia nampak lelaki itu amat mengambil berat tentang Rhea. Menurut Rhea, lelaki itu hanyalah kenalan rapat ayahnya tapi cara lelaki itu seolah-olah Rhea adalah segala-galanya. Zarif tidak mahu berburuk sangka jadi dia hanya mendengar sahaja perbualan dan perbincangan yang berlaku di antara Tuan Zakuan dan Kak Sheila. Kereta milik Rhea yang bercalar dan kemek kesan dari himpitan dan geselan tadi akan dihantar ke bengkel. Mungkin akan mengambil masa seminggu-dua untuk dibaiki.

Setelah selesai, Kak Sheila dan Tuan Zakuan meminta diri untuk pulang. Sebelum itu, Tuan Zakuan menjenguk Rhea yang lena di bilik tidurnya. Zarif hanya memandang dari ekor mata untuk memastikan yang Tuan Zakuan tidak masuk ke dalam bilik gadis itu. Hatinya sedikit kurang enak dengan perhatian yang diberikan oleh Tuan Zakuan ke atas Rhea.

Tuan Zakuan pula berasa berat hati untuk meninggalkan Rhea selepas apa yang berlaku. Gadis itu mengingatkan dia kepada Adelia. Mereka memang seiras. Simpatinya bertandang bila dia memikirkan tentang masa depan Rhea. Dia juga sedang mencari-cari cara yang paling sesuai untuk berterus terang tentang latar belakang sebenar gadis itu sebaik sahaja gadis itu mencapai usia 18 tahun. Hanya tinggal kurang lebih 2 bulan sahaja lagi tarikhnya. Dia tidak pasti sama ada Rhea akan mampu menerima berita itu atau tidak.

No comments:

Post a Comment