“Eh, Abang Adib. Buat apa kat sini? Cuti ker?” Rhea sekadar berbasa basi menegur lelaki yang dipanggil Adib itu.
“Abang temankan Suhana ambil keputusan SPM dia. Aulia balik dengan siapa?” Mata Adib masih tidak lepas-lepas memandang wajah manis gadis yang pernah memujanya dahulu. Dia mengakui yang gadis manis ini semakin bertambah cantik dan menawan.
“Er…er… Aulia balik dengan …er…er… er… bakal tunang.” Spontan sahaja jawapan itu keluar dari mulut Rhea. Fikirannya tidak dapat memikirkan apa lagi alasan yang paling baik untuk dia melarikan diri dari Adib saat ini.
“Bakal tunang? Mana?” Adib tidak percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut Rhea. Tak mungkin gadis itu akan menamatkan zaman bujangnya seawal ini. Mustahil!
Tangan Rhea pantas sahaja menarik Zarif supaya berdiri di sebelahnya. Zarif yang tidak tahu-menahu butir perbualan antara Rhea dan Adib kelihatan agak terpinga-pinga.
“Abang Adib, Aulia kenalkan, ini bakal tunang Rhea, Zarif”
Zarif yang mendengar Rhea memperkenalkan dia sebagai bakal tunang memandang tepat ke arah gadis itu. Matanya dikecilkan sedikit. Genggaman tangan Rhea yang sedikit mencengkam lengannya membuatkan dia faham apa yang perlu dia lakukan saat ini.
“Assalamualaikum. Saya Zarif, BAKAL tunang Rhea” Zarif menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Adib. Dia dapat mengesan riak terkejut di wajah lelaki itu.
Adib menyambut huluran tangan Zarif tetapi matanya masih tidak lepas dari merenung Rhea.Entah kenapa jauh di sudut hati kecilnya kini ada rasa sakit dan pedih bila gadis itu menyebut tentang bakal tunang. Lebih sakit hati lagi bila dia melihatkan yang bakal tunang Rhea Aulia itu kelihatan sangat hebat. Dengan penampilan seperti seorang model, Adib pasti, lelaki yang itu mempunyai karier yang sangat hebat dan tidak dapat dinafikan langsung yang mereka memang sangat secocok berdua.
“so lepas ni Aulia nak pergi mana? Balik rumah Pakcik Amin atau pulang terus ke Melaka?” Adib masih mahu berlama-lama berbual dengan Rhea. Masih belum puas dia menatap gadis itu.
Zarif yang menyedari pandangan mata Adib yang tidak lepas dari mneliti Rhea berasa kurang senang.
“Kami akan singgah ke kubur arwah ayah dan ibu Rhea, kemudian kami akan balik terus ke Melaka. Tak manis pula kalau kami pulang ke rumah keluarga Rhea jika hanya kami berdua sahaja.” Jawapan spontan dari Zarif membuatkan Rhea kehilangan kata-kata.
- Pandai-pandai jer pakcik ni nak tentukan. Siapa majikan sekarang? Aku ker dia?
Ayat-ayat tak puas hati itu hanya bergema di dalam kotak minda Rhea sahaja. Mana mungkin dia berkata sedemikian di hadapan Zarif.
Adib masih ingin berkata sesuatu dengan Rhea tapi melihatkan reaksi Rhea yang seperti tidak gembira, dia segera meminta diri. Lagi pula dia tidak mahu nanti Suhana ternampak dia menegur Rhea, boleh jadi isu negara. Bukan dia tidak tahu tahap cemburu Suhana terhadap Rhea. Jika boleh, kekasihnya itu mahu Rhea hilang dari bumi Johor, barulah dia puas hati. Adib pun pelik macam mana dia boleh terjatuh hati pada Suhana. Harapkan muka sahaja cantik, tapi cemburunya, mengalahkan bercinta dengan Anuar Zain. Pantang ada gadis yang menjeling ke arah Adib, pasti seminggu la mereka bertengkar.
Sebaik sahaja Adib berlalu, Rhea segera meloloskan dirinya ke dalam kereta. Dia tidak mahu berlama-lama di luar.
************************************
Muncung Rhea masih lagi panjang sedepa. Zarif tidak tahu apa yang membuatkan gadis itu tidak berpuas hati. Sudah separuh perjalananmereka lalui, tapi sepatah kata pun belum keluar dari mulut comel gadis itu. Zarif mati kutu. Dia menarik satu nafas panjang sebelum melontarkan pertanyaan kepada majikannya itu.
“Rhea, nak singgah kubur tak?”
Tiada jawapan yang diterima, hanya anggukan kepala sahaja yang menunjukan persetujuan.
“Kubur arah mana? Boleh tunjukkan jalan?” Zarif masih belum berputus asa.
“Jalan terus, depan sikit ada stesen minyak Petronas sebelah kiri. Parking kat Petronas tuh jer. Kubur sebelah stesen minyak tuh.”
Tegas sahaja kata-kata yang keluar dari mulut Rhea. Zarif tahu yang mood putting beliung sedang melanda jadi dia mengambil langkah selamat untuk terus berdiam diri sehinggalah tiba di stesen minyak yang Rhea sebutkan.
Rhea menyarungkan selendang yang dibawa bersama dan terus sahaja keluar dari kereta tanpa menunggu Zarif. Sebaik memastikan kereta di kunci, Zarif bergegas menuruti langkah Rhea yang sudah semakin jauh ke hadapan. Rhea berhenti di hadapan sepasang pusara yang cantik terjaga. Terdapat sebatang pokok pudding yang memisahkan antara dua pusara tersebut. Pusara di sebelah kiri tertulis nama Aurel Adelia Chin Binti Abdullah manakala yang di sebelah kanannya pula tertulis Aminuddin Bin Abdullah. Zarif pasti itulah pusara milik arwah kedua ibu bapa Rhea.
Rhea membentangkan tikar dan mengambil masa beberapa minit untuk memulakan bacaan Yaasin. Bacaan yang tersangkut-sangkut dek kerana menahan kesedihan menghantar secebis rasa pilu di hati kecil Zarif. Dia dapat merasakan betapa gadis itu amat merindui kedua ibu bapanya. Dia juga begitu. Kerinduan itu akan hadir setiap kali dia habis menunaikan solat.
Zarif berdiri di belakang Rhea sambil memerhatikan sekeliling kawasan tanah perkuburan yang sunyi itu. Tidak banyak rumah yang berdekatan mungkin kerana mitos kubur dan hantu yang sinonim. Pengunjung pusara juga tidak ramai. Hanya 3 pusara sahaja yang sedang dikunjungi saat ini termasuk la pusara arwah ibu bapa Rhea. Saat matanya memandang ke arah jalan raya, sebiji Land Rover model Discovery 4 menarik perhatiannya. Diparkirkan betul-betul setentang dengan tempat di mana dia dan Rhea berada. Zarif tahu ada yang memerhatikan mereka ketika ini. Pada waktu yang sama…..
“Rhea! Tunduk!!!!!” Zarif menjerit dan memaut kuat tubuh Rhea. DIa membawa Rhea lari bersembunyi di belakang salah satu pokok tembusu yang terdapat di kawasan tanah perkuburan tersebut. Beberapa butir kelongsong berterbangan di sekeliling mereka. Bunyi jeritan bersimpang siur dengan bunyi brek dan hon dari kenderaan di seberang jalan.
Rhea memaut erat tubuh Zarif. Dapat Zarif rasakan cengkaman kuat dari jari jemari Rhea yang menembusi lengannya saat ini. Pasti gadis itu takut separuh mati. Dia sendiri merasakan debaran yang sangat hebat di dadanya. Debaran kerana serangan dari musuh bercampur pula dengan debaran kerana pelukan erat dari Rhea. Segala-galanya bercampur baur.
***************************************
Tuan Zakuan meninggalkan perbincangan yang berlangsung antara dia dan Jacky dengan tergesa-gesa. Panggilan telefon yang di terima oleh Sheila membuatkan hatinya sangat tidak senang. Walaupun Sheila memberi jaminan yang Rhea berada dalam keadaan yang selamat, dia tetap mahu pulang untuk melihat sendiri dengan kedua belah matanya.
Segala urusan yang telah dirancangkan selama ini terpaksa dibatalkan. Tuan Zakuan tahu pasti ada pihak yang akan tertekan dengan keputusannya untuk pulang segera ke Malaysia, tapi dia lebih pentingkan keselamatan Rhea berbanding perkara lain. Amanah yang diberikan oleh Amin harus dia pegang sebaik mungkin walau dia terpaksa korbankan nyawanya sendiri.
“Rizal, aku mahu kau cari sampai lubang cacing si bangsat yang cuba nak menghancurkan Rhea. Kalau boleh, aku tak mahu sehelai rambut pun yang tinggal dari si bangsat tu. Sheila, kau pastikan Rhea dibawa pulang terus ke kondo. Jangan singgah di mana-mana walaupun rumah keluarganya. Keadaan amat berbahaya sekarang.”
Setiap pesanan yang keluar dari mulut Tuan Zakuan di dengar dengan teliti oleh Abang Rizal dan Kak Sheila. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut mereka berdua. Mereka amat memahami betapa getirnya situasi ketika ini.
**************************************
Siaran berita perdana di televisyen membuatkan kepala Armand berpusing ligat. Berita tentang penemuan satu jasad wanita muda dengan perut terburai di kawasan tempat pembuangan sampah benar-benar memualkan perutnya. Lebih mengerikan lagi, wanita itu dipercayai hamil dan anak di dalam kandungannya telah dikeluarkan secara paksa. Armand tidak menunggu lama, remote control di capai dan siaran ditukar. Walaupun kini wajah jelita pelakon pujaannya yang terpampang, dia masih belum dapat melupakan berita yang ditonton sebentar tadi.
Didalam kepala Armand kini terlayar peristiwa yang menimpa Aunty Aurel dahulu. Dia tahu yang Aunty Aurel bukan meninggal dunia kerana kemalangan. Dia sudah cukup matang waktu itu untuk membezakan antara kemalangan dengan pembunuhan. Tidak logic jika kemalangan jalan kaki menyebabkan kepala pecah dan isi perut terburai. Lebih teruk lagi bila Aunty Aurel hanya dilanggar oleh motorsikal cabuk dan bukannya dilanggar bas atau lori kontena.
Armand tahu ada sesuatu di sebalik kematian Aunty Aurel tapi sehingga kini dia masih tidak dapat meneka siapa yang begitu kejam sehingga sanggup membunuh wanita yang baik dan lemah lembut itu. Wanita yang rajin melayan rajuk dan ragam dia dari dia kecil. Wanita yang memberikan dia secebis rasa kasih sayang yang tidak dia temui dalam diri ibu kandungnya sendiri. Wanita yang menyuapkan dia makanan dengan penuh sabar.
Tanpa Armand sedari, titis airmata sudah membasahi pelupuk matanya. Belum sempat jari jemarinya Armand menyapu sisa tangisan, ada jari lain yang lembut sudah mendahuluinya. Bukan sahaja airmata yang di sapu, tapi seluruh wajah kacak Armand di usap dengan manja.
“Why baby? Wanna share?” Gabriel berbisik perlahan di tepi telingan Armand. Jari jemarinya yang tadi mengusap wajah lelaki itu kini mengulit dada Armand yang bidang. Butang t-shirt yang Armand pakai kini di buka satu persatu.
Sebelah tangan Armand memeluk erat tubuh kecil milik Gabriel. Satu kucupan kecil dihadiahkan di dahi Gabriel. Soalan yang ditanya oleh Gabriel dibiarkan tanpa jawapan. Dia sedang menikmati wangian yang terbit dari tubuh Gabriel. Wangian yang sentiasa memabukkan dia bila mereka bersama. Gabriel masih lagi leka mengusap dada Armand.
Kucupan yang bermula dari dahi tadi kini beralih ke pipi dan leher. Wajah Armand kini tersembunyi di celahan rambut Gabriel yang panjang mengurai. Armand kini mengangkat tubuh Gabriel dan diletakkan di atas ribanya. Blaus halter neck yang dipakai oleh Gabriel semakin longgar ikatannya. Saat kucupan Armand semakin hangat, telefon bimbit miliknya berbunyi nyaring. Armand seakan tidak peduli tentang panggilan yang masuk, tapi bila Gabriel menolak tubuhnya perlahan dan berpaling untuk mencapai telefon yang terletak di atas meja kopi, Armand terpaksa akur. Bila melihat sahaja nama pemanggil yang tertera, wajah Armand serta merta berubah. Punat hijau ditekan.
“Hello, mama….”
26 January 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
nice 3n..sangt mnarik nak lg cpt sambung yeaaa
ReplyDeleteGreat...keep it up!:)
ReplyDeletesemakin menarik.... next n3 plz....
ReplyDelete