Followers

18 July 2011

Makin Aku Cinta (10)

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau hanya satu kebetulan


Suria keluar dari pejabat sebaik sahaja tamat waktu bekerja. Selalunya dia merupakan antara orang terakhir yang meninggalkan kawasan pejabat tapi hari ini dia perlu ke pasaraya untuk membeli barang keperluan harian yang semakin menyusut. Lauk-pauk untuk di masak juga telah habis. Dia tidak mahu makan malam dengan hanya mengadap mee segera sahaja.

Kereta Honda Jazz miliknya diparkir cantik berdekatan dengan pintu masuk pasaraya. Baru sahaja dia mematikan enjin kereta, kedengaran bunyi seretan di bahagian tepi sebelah kanan pintu penumpang. Dia sangat yakin keretanya telah di gesel dan bercalar. Dengan hati yang agak terbuku, Suria keluar dari kereta untuk melihat siapakah gerangannya yang telah membikin onar kepada kereta kesayangannya.

Sebuah kereta Volkswagen GTI berhenti di tengah-tengah jalan. Suria masih tidak dapat melihat rupa pemandunya kerana tingkap kereta yang sangat gelap. Berdasarkan nombor plat yang cantik dan lambang kebesaran yang terlekat, Suria pasti pemilik kereta itu bukanlah calang-calang orang. Seorang wanita pertengahan usia yang jelita dan bergaya keluar dari tempat duduk penumpang dan terus menuju ke arah Suria.

“Assalamualaikum, maaf yer, ini kereta anak ker?” wanita itu bertanya lembut sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Suria hanya mampu mengangguk dan menyambut salam dari wanita itu. Rasa marah yang terbuku tadi hilang dalam sekelip mata bila mendengarkan suara lemah lembut wanita yang seusia ibunya ini.

“Tunggu sekejap yer. Auntie panggil anak auntie yang pandu kereta tuh. Mesti dia tengah terperanjat sebab langgar kereta orang.”wanita itu berlalu ke keretanya tanpa sempat Suria bertanya apa-apa.

“Ku Lin, you have to settle this by yourself. Mummy takkan tolong kali ni. Ku Lin kena cakap sendiri kat kakak tuh”

Suria terdengar wanita itu memujuk anaknya dengan suara yang lembut tetapi tegas. Kelibat seorang gadis yang keluar dari tempat pemandu mencuri perhatian Suria. Erlina!!!

##################################

“Kak Suriaaa!!!!!!!” Erlina menjerit panjang dan melompat kegirangan apabila melihatkan Suria yang berdiri di hadapannya. Serta-merta tubuh Suria di peluk erat.

“ehem…ehem… peluk tuh peluk jugak, kereta akak ni apa cerita?” Suria menaikkan kening dan cuba mempamerkan riak wajah serius di hadapan Erlina.

“Kereta akak? Nanti Pak Selamat akan datang lepas tuh bawak kereta akak pergi bengkel” Erlina telah mengaturkan supaya pemandu mummy menghantarkan kereta Suria ke bengkel kereta untuk dibaiki. Dalam kepala otak Erlina, dia telah mengaturkan rancangan lain yang lebih jauh dan dia sangat yakin yang mummy juga pasti bersetuju dengan rancangannya.

“Kalau macam tuh, tak payah la panggil Pak Selamat tu datang. Nanti akak sendiri akan bawak kereta ni pergi bengkel. Bukannya rosak teruk pun.” Suria merasa kurang selesa. Pasti dia akan patah kaki tanpa kereta kesayangannya itu.

“Tak apa Suria. Auntie akan pastikan yang kereta Suria dibaiki dengan sempurna. Kalau Suria menolak, maknanya Suria marahkan Ku Lin dan auntie” Ku Mardhiana memujuk lembut sambil memegang tangan Suria. Naluri keibuan yang sangat kuat membuatkan Suria hanya mengangguk lemah. Mana mungkin dia menolak jika wanita itu sudah bersungguh-sungguh.

Rancangan asal Suria untuk berbelanja terbantut apabila Ku Erlina dan Ku Mardhiana beria-ria menjemput dia untuk makan malam di rumah mereka. Suria tidak punya pilihan lain selain terpaksa menurut rancangan kedua ibu dan anak itu walaupun di dalam hatinya dia sangat ingin pulang ke rumah tapi memandangkan yang Ku Mardhiana telah berjanji untuk menghantarkan dia pulang selepas makan malam, Suria hanya mengikut sahaja. Lagi pula dia berasa amat senang dengan Ku Mardhiana. Seperti anak gadisnya, Ku Erlina, wanita itu juga sangat ramah dan mudah mesra. Gurau senda antara anak dan ibu sentiasa menghiasi perbualan mereka bertiga. Suasana ini sedikit sebanyak membuatkan Suria teringatkan mamanya di kampung.

#####################################

Langit sudah menginjak senja ketika Emran meninggalkan pejabat. Tali leher yang masih tergantung cantik di tarik dan dicampakkan ke tempat duduk belakang. Lengan kemeja dilipat dan dua butang di leher di buka. Kini Emran kelihatan lebih seperti model pakaian pejabat Louis Vutton daripada kerjaya sebenarnya seorang arkitek. Emran mendail nombor telefon Erlina, sekadar untuk bertanya tentang aktiviti gadis itu pada hari ini. Talian bordering dan tidak lama kemudian kedengaran suara manja Erlina menjawab.

“Assalamualaikum Along”

“Alaikumsalam. Lin kat mana?”

“Lin kat rumah dengan mummy. Along pulak kat mana?”

“I just left my office. Lapar la”

“Along balik rumah mummy tau. Malam ni mummy masak istimewa sebab ada tetamu”

“Tetamu? Siapa? Your boyfriend?”

“Kalau boyfriend Lin, tentu la Lin yang masak. Nak tunjuk skill. Tapi tetamu yang ini lebih special dari bakal boyfriend Lin. Along balik makan malam sekali dengan kami yer. Nanti Lin bagitau mummy. Bye”

Tanpa sempat Emran membalas, talian sudah dimatikan. Senyum kecil menghiasi bibir Emran bila teringatkan adiknya itu. Emran mengambil keputusan untuk terus sahaja ke rumah orang tuanya tanpa pulang ke rumahnya sendiri.

###############################

Sebaik tiba di vila keluarganya, Emran memarkirkan kereta bersebelahan dengan kereta milik Erlina. Dia ternampak kesan calar yang agar teruk di bahagian hadapan kereta. Pasti adiknya telah melakukan kesalahan jalanraya sekali lagi. Kali ini dia tak pasti, apa pula yang telah dilanggar oleh Erlina.

Setelah memberikan salam, Emran menapak masuk ke dalam vila. Suara gelak ketawa yang bertingkah menarik perhatiannya. Ada satu suara yang mencuri perhatiannya. Suara yang menghantui siang dan malamnya sejak kebelakangan ini. Dia melangkah perlahan menuju ke ruang makan keluarga dan berhenti di belakang susuk tubuh yang amat dikenali. Emran berdiri amat rapat sehingga dia dapat menghidu bau harum rambut sang empunya tubuh. Jantungnya bergetar kuat, sekuat teguran dari mummy yang langsung mematikan renungannya.

“Ku Em, bila sampai? Mummy tak dengar pun Ku Em bagi salam?” Ku Mardhiana nampak cara Ku Emran memandang Suria. Kini dia faham kenapa Ku Erlina beria-ria mahu gadis itu makan malam di rumah mereka.

Emran langsung menyalami tangan mummynya dan mencium pipi wanita itu.

“Dah lama Ku Em kat sini, tapi mummy sibuk sangat layan tetamu sampai lupa anak sendiri.” Emran memeluk mummynya tetapi mata lelai itu masih tepat memandang kearah Suria.

Tawa Suria pula mati serta merta sebaik sahaja pandangan tajam dari Emran singgah ke matanya. Kulit bawang yang di kupas tadi di kuis-kuis perlahan. Berdepan dengan lelaki itu membuatkan setiap perlakuannya terasa serba tak kena. Dia rasa tak selesa apabila renungan tajam lelaki itu seperti menembusi ruang jantungnya dan menyebabkan nafasnya menjadi tersekat-sekat. Jika lelaki itu seorang pembunuh upahan, pasti dia tak perlu membawa pisau atau pistol, cukup dengan satu renungan, mangsanya akan mati kerana kekurangan nafas dan oksigen.

Suasana di meja makan pada malam itu semakin mesra. Ternyata Emran berubah laku 180 darjah bila dikelilingi keluarganya. Senyum sering saja terpamer di bibir merah lelaki itu. Usik-menusik dan senda gurauan antara dua beradik itu tidak putus-putus sehingga kadang-kala Suria juga menjadi mangsa mereka. Kepulangan Ku Hashim, tuan besar di vila itu menyemarakkan lagi suasana kekeluargaan. Suria juga sudah semakin hilang kecanggungan bila Ku Mardhiana melayan dirinya seperti mereka memang sudah kenal lama.

Masa begitu cepat berlalu. Tanpa disedari jam sudah berdenting sebanyak sepuluh kali. Ku Emran dan Ku Hashim sudah naik ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri. Dengan sopan dan lemah lembut, Suria meminta diri untuk pulang dan tanpa disangka-sangka,

“Ku Lin, panggil Along turun. Mintak tolong dia hantarkan Kak Suria pulang ke rumah.” Ku Mardhiana menahan Ku Erlina yang baru ingin masuk ke dapur.

Dengan kadar segera dan tanpa bertangguh, laju sahaja Ku Erlina memanjat tangga menuju ke bilik abangnya.

“Auntie, tak payah lah susah-susah. Suria boleh telefon teksi.” Suria berusaha untuk tidak pulang bersama-sama dengan Ku Emran. Dia tidak mahu lagi terpaksa duduk dalam satu ruang yang sempit dengan lelaki itu dan terpaksa menahan rasa hati dengan pandangan tajam dari lelaki itu.

“Tak apa. Tadi kan Auntie dah janji nak hantar Suria balik. Lagipun dah malam sangat ni, bahaya anak dara sorang-sorang naik teksi. Kalau Suria tak mahu Ku Em hantar, Suria kena tidur sini. Auntie tak mahu Suria balik sorang-sorang”

“Tapi auntie, dah malam ni. Kesian Ku Em, mesti dia penat. Suria boleh balik sendiri.” Suria masih mahu mencuba nasib. Dia sudah bersedia untuk mendail nombor talian teksi.

“Who said I’m tired? I will sent you home. No argument.” Satu suara garau mencelah lantas mematikan segala perancangan yang ada di dalam kepala Suria. Kali ini tiada alasan lagi yang boleh diberikan kerana Suria sudah tahu yang lelaki itu paling benci jika terpaksa mengulang perkara yang sama berkali-kali.

Ku Emran mendekati mummynya dan mencium pipi wanita itu.

“Ku Em keluar sekejap hantar Suria. Mummy tak perlu tunggu Ku Em balik, Ku Em bawak kunci.” Nada suara yang digunakan Ku Emran semasa bercakap dengan mummynya sangat berlainan sekali dengan nada suara sewaktu bercakap dengan Suria.

Kalau ikutkan hati Suria yang sedang mendongkol marah, ingin sahaja dia mengetuk-ngetuk kepala lelaki itu menggunakan beg tangannya. Geram sungguh dia rasakan. Tapi mana mungkin Suria melakukan perkara seperti itu. Berdepan dengan Ku Emran saja boleh membuatkan jantungnya seperti mahu gugur, inikan pula nak mengetuk kepala lelaki itu dengan beg tangan. Memang kena tunggu kucing bertanduk lah jawabnya.

Melihatkan Ku Emran yang sudah melangkah keluar dari vila, Suria segera bersalam dan meminta diri dari Ku Mardhiana dan Ku Erlina. Matanya sempat menangkap tanda ‘semoga berjaya’ yang ditunjukkan oleh Ku Erlina sebaik sahaja dia memeluk gadis itu. Adik dan abang sama saja perangainya. Yang abang dengan pandangan membunuh, yang adik pula tak habis-habis menyakat.

1 comment: