Followers

06 February 2011

Tiada Yang Lain... (03)

Mereka tiba di Melaka agak lewat malam. Rhea yang hanya tidur di sepanjang perjalanan agak terpisat-pisat sewaktu di kejutkan oleh Uncle Zakuan. Dia memandang kawasan sekeliling yang agak terang seolah-olah berada di kawasan parking kereta. Memang kawasan parking kereta!!

"takkan Uncle Zakuan nak tinggalkan aku kat tempat parking ni kot??" hatinya tertanya sendiri.

Bersebelahan dengan kereta Uncle Zakuan terdapat sebuah kereta Mini Cooper yang menjadi pujaan hatinya dulu. Dia masih ingat yang ayahnya pernah bergurau mahu membelikan kereta itu untuknya jika dia mendapat keputusan cemerlang untuk SPM. Hatinya sedikit pilu.

"Rhea..."

panggilan dari Uncle Zakuan mematikan lamunannya. Dia berpaling.

"Mari kita naik atas. Mulai hari ni, Rhea akan tinggal di sini. Ini rumah yang ayah Rhea belikan untuk Rhea dan dia mahu Rhea tinggal disini bila dia dah tiada..."

" Rumah Rhea?? Tapi uncle, mana ayah mampu nak beli rumah kat sini? "

"Kita naik dulu. Nanti uncle akan terangkan pada Rhea. Uncle rasa Rhea pun dah penat kan. Mari...."

Uncle Zakuan menarik lembut tangan Rhea menuju ke arah lif yang berdekatan dengan kereta mereka. Dia menekan butang yang paling atas. Tingkat 5. Melihat kepada lif dan hiasan di sekeliling sahaja Rhea sudah dapat meneka kemewahan apartment itu. Dia masih merasakan yang kata-kata Uncle Zakuan tadi hanyalah satu gurauan. Mana mungkin ayahnya mampu membeli apartment semewah ini.

Saat lif berhenti dan pintunya terbuka, hampir sahaja kaki Rhea tak mampu untuk bergerak. Cuma ada 2 pintu rumah sahaja di tingkat 5 itu. Jika tidak kerana Uncle Zakuan menarik tangannya, pasti dia masih tertinggal di dalam lif yang hampir tutup. Uncle zakuan melayangkan sekeping kad di hadapan pintu kayu dan membuka pintu setelah lampu di tepi pintu bertukar hijau.

"pergh... canggih giler rumah ni...." bisik hati Rhea.

Sebaik sahaja pintu rumah itu terbuka, Rhea merasakan seolah-olah dia baru tersedar dari mimpi yang panjang. Hiasan dalaman rumah itu amat cantik sekali. Dari ruang tamu membawa kedapur, semuanya menepati citarasanya. Perlahan-lahan air matanya menitis. Dia mula mempercayai yang rumah ini memang dibeli oleh arwah ayah untuk dirinya kerana kebanyakan hiasan dan tatagaya di dalam rumah itu sama seperti mana yang pernah dia kongsi bersama ayahnya. Cuma ayah sahaja yang tahu. Di satu sudut, dia dapat melihat potret keluarganya menghiasi dinding. Itu gambar terakhir yang di rakam sebelum ibunya meninggal dunia. Setelah ibunya pergi, ayah tak pernah mengambil gambar bersamanya lagi. Ayah cuma merakam gambar Rhea sahaja kerana kata ayah, ibu telah membawa pergi seri dalam kehidupannya jadi mana mungkin dia bergambar jika seri sudah tiada. Hiasan dinding di dalam apartment mewah itu memang di penuhi gambar-gambar Rhea sahaja.

"Apartment ini memang ayah Rhea beli untuk Rhea. Dah lama dia beli, sejak sebelum ibu Rhea meninggal dunia. Mereka memang mahukan Rhea tinggal di sini kerana kawalan keselamatan di sini antara yang terbaik. Mereka sentiasa mahukan yang terbaik untuk Rhea dan selalu risaukan keselamatan Rhea. Uncle akan cuba sedaya upaya untuk menunaikan amanat yang ditinggalkan oleh kedua ibu bapa Rhea. Buat sementara waktu, Kak Sheila akan temankan Rhea di rumah ni. Uncle balik dulu. Esok pagi Uncle akan datang dengan peguam untuk membacakan wasiat yang ditinggalkan untuk Rhea. Have a good rest, sweetie. You look exhausted..." Uncle Zakuan meninggalkan Rhea di dalam bilik utama.

Setelah pintu bilik ditutup, Rhea merasakan terlalu banyak perkara yang meninggalkan tanda tanya di dalam akal fikirannya. Tentang apartment, tentang peguam, tentang wasiat dan dia sangat yakin, esok pasti lebih banyak perkara yang akan membuatkan dia berfikir dan itu sahaja membuatkan dia tak mampu untuk bertahan lebih lama. Matanya mula kelam dan badannya tidak mampu menahan rasa penat dan lesu lagi.